Iklan

Khamis, 13 Mei 2010

SIMPANG MENGAYAU


Sabah sebuah negeri yang terletak di kepulauan Borneo merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai banyak tempat yang menarik dan bersejarah. Sabah terletak bersebelahan dengan Sarawak dan juga Brunei ini menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak suku kaum dan etnik. Antara suku kaum yang terdapat di Sabah adalah seperti Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Bugis, Kedayan, Kagayan, Iranun dan banyak lagi etnik minority yang menetap di setiap pelusuk negeri Sabah.

Sabah mempunyai banyak tempat yang menarik, tetapi pada kali ini saya ingin menceritaka serba sedikit tentang keunikan dan keindahan pemandangan di Simpang Mengayau. Simpang Mengayau terletak di daerah Kudat. Perjalanan untuk sampai ke Kudat memakan masa lebih kurang tiga jam jika anda bertolak daripada Kota Kinabalu. Kudat terletak di utara Sabah yang berhampiran dengan Filipina, kebanyakkan masyarakat di Kudat memeluk Agama Islam dan juga berbangsa Bajau. Simpang Mengayau yang terletak tidak jauh daripada Bandar Kudat merupakan salah sebuah tempat menarik yang sering di kunjungi oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa. Keunikkan yang ada di Simpang Mengayau adalah pemandangannya yang menarik, ini kerana Simpang Mengayau terletak di penghujung Sabah (The tips of Borneo). Simpang Mengayau juga merupakan sebuah jaringan bukit tinggi yang memanjang mengadap ke Laut Sulu sehingga menampakkan panorama yang indah ketika matahari mula naik dan matahari terbenam, tempat ini merupakan salah satu tempat yang menjadi kawasan tarikan pelancong. Simpang Mengayau sebenarnya mendapat namanya daripada bahasa pertuturan harian masyarakat tempatan yang menampakkan fungsi jaringan bukit ini dan panoramanya ketika era zaman pelanunan suatu ketika dahulu. Simpang Mengayau berasal dari perkataan Bajau Suluk ‘Simpang’ yang membawa erti menemui ataupun menjumpai seseorang setelah menunggu disebabkan adanya temu janji. Mengayau pula merujuk kepada perkataan Bajau Suluk yang membawa erti beradu kekuatan, berperang atau berlawan. Dengan itu, nama Simpang Mengayau bererti menemui atau menjumpai orang untuk tujuan beradu kekuatan ilmu batin ataupun berperang. Pada zaman dahulu ketika era zaman kesultanan Sulu Sering kali juga kawasan bukit di tanjung ini menjadi tempat persembunyian musuh-musuh dan lanun yang menunggu untuk menyerang kapal-kapal dagang yang melalui kawasan ini atau berlabuh di sini. Ferdinand Magellan dalam catatan pigafetta dalam pelayarannya mengelilingi dunia sewaktu belayar dari Brunei ke Kepulauan Sulu dikatakan pernah berlabuh di kawasan ini selama 42 hari pada tarikh 15 Ogos hingga 27 September 1521 untuk membaiki kapalnya yang rosak sebelum meneruskan pelayarannya.

Simpang mengayau seharusnya diberikan nafas baru dengan membina lebih banyak resort bagi kemudahan pengunjung yang akan bertambah suatu masa nanti kerana tempat yang menarik seperti ini merupakan satu khazanah alam yang tidak terhingga. Sehingga ke hari ini hanya terdapat satu resort yang baru sahaja memulakan operasinya dengan membuka tujuh chalet yang terletak di atas bukit di simpang mengayau, tempatnya yang sangat strategik dan indah menjanjikan ketenangan kepada para pengunjung yang cintakan keindahan alam. Terdapat juga kemudahan awam lain bagi kemudahan pelawat dan pelancong. Ramai yang tidak tahu dan tidak pernah mengunjungi Simpang Mengayau lagi, ini kerana tempat yang agak jauh ke pendalaman dengan keadaan jalan yang masih belum siap di bina ini membuatkan kawasan ini tidak terkenal seperti kawasan-kawasan pelancongan dan tarikan pelancong yang lain yang ada di Borneo ini seperti Tanjung Aru, Poring, Karambunai dan lain-lain lagi tempat tarikan pelancong yang terkenal di Sabah. Justeru itu pihak berwajib haruslah memainkan peranan yang serius dalam membangunkan Simpang Mengayau dan lain-lain kawasan tarikan pelancong yang tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya bagi meningkatkan lagi minat dan tarikan bagi menarik pelancong dalam dan luar untuk lebih mendekati, merasai dan menghargai keindahan alam yang terlalu banyak di pulau Borneo ini.